Telur dadar :Sihat + mudah atau sedap + berkalori tinggi
Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian juadah makanan. Tak kiralah daripada mana keturunan, bangsa atau agama kita berasal, asal saja rakyat Malaysia, mesti cukup suka dapat menikmati pelbagai jenis makanan yang terdapat dalam negara ini.
Selain daripada makanan tempatan, kita juga selalu disajikan dengan makanan-makanan lain daripada negara luar. Hasil daripada ini jugalah macam-macam jenis resepi terhasil semata-mata mahu memenuhi tekak dan selera orang Malaysia yang memang tidak ‘memilih’ makanan ni.
Dalam post ini, saya hanya ingin menunjukkan sejenis contoh mudah tentang apa yang saya sebutkan di atas.
Ambil contoh iklan Mayonis dalam Tv yang menunjukkan pelakon Sheila Rusly memasak telur dadar letak mayonis. Sudah tentulah motif utama iklan itu ialah untuk menambah penjualan produknya iaitu mayonis. Dan apabila menunjukkan tentang mayonis boleh digunakan di mana-mana termasuklah telur dadar, berlumba-lumbalah rakyat Malaysia mencuba resepi tersebut untuk mengetahui betapa sedapnya ia.
Mungkin resepi itu adalah sangat sedap untuk anda, tetapi bagi saya tak banyak beza dengan telur dadar biasa pun. Mungkin kerana saya memang suka makan telur, dan saya suka menikmati telur dalam apa saja keadaan. Saya juga tahu bahawa telur merupakan satu sumber protein yang terbaik untuk badan.Sekiranya anda dalam proses menurunkan berat badan, telur adalah salah satu jenis makanan yang sihat untuk anda. Tetapi bagi saya tiada keistimewaanya mencampurkan mayonis dalam telur dadar.
Anda patut tahu bahawa sebiji telur dadar biasa bersaiz besar mempunyai kira-kira 280 kalori. Bagi 1 sudu besar mayonis sahaja adalah 100 kalori. Ini belum lagi sekiranya anda menambah bahan-bahan lain dalam telur dadar seperti bawang, sosej, keju dan lain-lain. Bagaimana anda hendak menjadi kurus sekiranya anda selalu mengambil makanan dengan kalori yang tinggi?
Bayangkan kalau dalam satu hidangan penuh makan tengahari atau makan malam, anda mengambil nasi putih, lauk ayam/daging, sayur dan ditambah pula dengan hidangan telur dadar ini. Untuk 1 kali waktu makan sahaja, anda boleh mencecah pengambilan kalori antara 800-1000 kalori. Bagimana pula dengan makanan dan minuman lain yang anda ambil pada hari tersebut. Bukankah ini menyumbang kepada pengambilan kalori secara berlebihan, yang menjadi sebab utama kepada penambahan berat badan?
Oleh itu, suka saya ingatkan di sini bahawa kita haru memilih apa jenis makanan yang kita ambil. Jangan makan hanya mengikut selera dan sedap sahaja tanpa mengetahui apa kandungan makanan yang kita ambil. Kita mesti memilih diet yang betul supaya makanan yang kita makan dapat berfungsi untuk memberikan nutrien dan khasiat serta tenaga kepada kita untuk menjadi sihat dan kekal bertenaga.
Salahkah kalau dibiarkan sahaja telur dadar menjadi mudah seperti sedia ada? Hanya campurkan telur, dengan sedikit garam untuk perasa dan goreng dlm kuali dengan minyak seminima mungkin. Untuk resepi yang lebih sihat gunakan hanya 1kuning telur sahaja dicampur dgn beberapa biji putih telur yang lain.Terdapat juga pelbagai cara lain untuk memasak telur dengan lebih sihat, sesuai bagi mereka yang ingin turunkan berat badan.
Berubahlah untuk mendapatkan hanya yang terbaik untuk diri kita dan belajarlah untuk memilih makanan yang betul supaya kita mendapat kesihatan dan berat badan yang unggul.
